SEJARAH SKT


SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN TEBONG MELAKA
           
            Sekolah ini merupakan sekolah yang pertama di kawasan Tebong, Melaka. Asal nama “Tebong” ini diambil daripada sejenis pokok yang tumbuh banyak di kawasan ini, iaitu Pokok Mentebong. Terletak kira-kira 37 kilometer dari Bandar Melaka. Bermula pada tahun 1905 sebuah pondok beratapkan rumbia dan berdindingkan buluh telah dibina oleh Datuk Pawang Bongkok bagi membolehkan penduduk di sini mengenal huruf dan mengaji pondok bagi mendapatkan ilmu pengetahuan, pada ketika itu bilangan pelajar hanyalah seramai 12 orang sahaja.

            Di atas kesedaran penduduk-penduduk di sini, betapa pentingnya ilmu pengetahuan, maka mereka telah mendesak pihak kerajaan untuk membina sebuah sekolah yang baru bagi anak-anak mereka. Akhirnya pada tahun 1930, impian mereka terjawab apabila kerajaan meluluskan pembinaan sebuah bangunan sekolah dan sebuah rumah guru di atas tanah seluas 5 ekar ord. 6 p. bagi menampung murid seramai 20 orang.


            Pada tahun 1963, kerajaan telah membina dua blok bangunan separuh kekal yang mengandungi empat buah bilik darjah dan sebuah bilik dijadikan pejabat guru besar serta sebuah rumah guru.

             Pada tahun 1975, di atas keprihatinan kerajaan terhadap penduduk Tebong, maka kerajaan telah membina sebuah lagi bangunan tambahan dua tingkat yang mengandungi empat buah bilik darjah, sebuah bilik pejabat, dua buah tandas dan sebuah Kantin.


         Pada bulan November 1989, sebuah bangunan Pusat Sumber Sekolah mula dibina dan akhirnya awal Mei 1990 ia mula berfungsi dan boleh digunakan. Bangunan ini telah dibiayai oleh Bank Dunia.


         Manakala pada akhir 2006, satu lagi Makmal Komputer telah siap dibina dan telah beroperasi sekitar Tahun 2008.

          Pada pertengahan Tahun 2009, Surau sekolah yang bangunan asalnya dibina pada Tahun 1930, Bilik Kemahiran Hidup, Kelas Tahun 1 dan Pra Sekolah telah dirobohkan untuk dinaiktarafkan infrastruktur bangunan sekolah kepada 4 tingkat. Bangunan tersebut dijangka akan beroperasi pada bulan April 2010.


           Terdapat sebuah Pondok Bacaan yang dibina dalam kawasan sekolah. Pondok bacaan tersebut telah diubahsuai menjadi lebih besar, kukuh dan selesa untuk kegunaan murid.

             Secara keseluruhannya, Sekolah Kebangsaan Tebong kini mempunyai 6 buah bangunan kekal yang terdiri daripada bangunan utama dua tingkat yang menempatkan 3 buah kelas iaitu kelas Tahun 5 & Tahun 6 serta Bilik Guru, Bilik j-QAF, Koperasi Sekolah dan Tandas Murid. Selain itu, terdapat satu bangunan yang dijadikan Pusat Sumber dan Bilik Tayangan. Sebuah kantin bersebelahan dengan bangunan utama, sebuah bangunan empat tingkat yang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti Makmal Sains, Bilik Kemahiran Hidup, Surau, Kelas Pemulihan dan kelas Tahun 1 hingga 4. Terdapat juga Makmal Komputer dan bangunan khas untuk Pra Sekolah yang dilengkapi dengan taman permainan.

Dengan kekuatan 18 orang tenaga pendidik, dibantu dua orang pembantu am rendah, seorang pembantu Pra, 2 orang pengawal keselamatan serta pekerja am dari Sedanan Enterprise menjadikan SK Tebong ini sebuah sekolah yang mantap dan mampu melahirkan pelajar yang dinamik dari segi akademik dan kokurikulum.

Jumlah murid SK Tebong pula adalah seramai 155 orang yang meliputi 4 bangsa iaitu Melayu, India, Cina dan Kaum Asli. Uniknya Tebong ini kerana mempunyai penduduk pribumi dari kaum asli. Pada tahun ini, jumlah murid SK Tebong dari kaum asli meningkat kepada 34 orang berbanding tahun-tahun sebelum ini. Ini adalah satu perkembangan yang baik bagi pihak sekolah yang sedaya-upaya menarik perhatian penduduk kaum asli agar menghantar anak-anak mereka ke sekolah untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Dengan usaha gigih warga SK Tebong untuk memberi kesedaran kepada kaum ini telah membuahkan hasil yang positif terhadap masyarakat setempat terutama orang asli.

Pencapaian UPSR 2010 pula menunjukkan kuantiti peratusan keseluruhan sebanyak 66.7%, meningkat berbanding Tahun 2009 sebanyak 59.3%. Tetapi dari segi kualitinya, peratusan bagi setiap mata pelajaran menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan termasuk mata pelajaran Bahasa Inggeris. Sedikit penurunan kepada Bahasa Melayu Penulisan daripada 88.5% kepada 75%. Apa yang membanggakan pihak sekolah, dengan keputusan UPSR 2010 ini telah melonjakkan nama SK Tebong dalam senarai 19 buah sekolah Negeri Melaka layak untuk dinilai menerusi salah satu elemen dalam NKRA iaitu Tawaran Baru kepada Pemimpin Sekolah.

Walau bagaimanapun, sekolah mensasarkan untuk Tahun 2011 ini seramai 7 orang calon UPSR 2011 yang berpotensi untuk mencapai keputusan A dalam semua mata pelajaran. Insya Allah, warga Pendidik SK Tebong mendoakan agar kejayaan cemerlang untuk semua calon UPSR 2011.